Ucapan Selamat Hari Raya Iduladha 1432H/2011M

Assalammualaikum.

Sempena kedatangan Hari Raya Iduladha (Korban) esok 10 Zulhijah 1432 bersamaan 6 November 2011 sekali lagi akan berkumandang takbir hari raya.  Insyallah selepas maghrib pada petang ini kita akan mula bertakbir hari raya haji, bersama-samalah kita memuji dan mengagungkan kebesaran dan keagungan Allah SWT Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Haji (Korban) Maaf Zahir Batin. Semuga kehadiran Hari Raya Haji kali ini dapat kita rayakan dengan  suasana yang ceria dalam setiap keluarga kasiban dan dipenuhi dengan semangat pengorbanan semata mengharapkan keredhaan dari Allah S.W.T.

Saya ingin berpesan kepada ahli KKK datanglah sembahyang berjemaah ke masjid atau surau berdekatan dan kalau berpuasa sunat hari ni bukalah bersama-sama jemaah dan selepas itu bolehlah bertakbir hari raya. Sekiranya di Taman atau Kampung tu ada majlis ziarah-menziarahi rumah kerumah... jangan tak ikut pulak.. kan seronok sambil ziarah kita dapat takbir dan menjamu selera. 

Jangan lupa pulak esoknya kita akan sambut kedatangan Iduladha beramai-ramai ke masjid atau surau yang berdekatan untuk menunaikan solat Iduladha bersama keluarga dan masyarakat setempat. Selepas solat Iduladha bagi keluarga kasiban yang berkemampuan amatlah dituntutlah  menyembelih korban dan masanya bemula pada hari esok dan tiga hari tasrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. 

Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “ Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban”. (Riwayat al-Bukhari)

Ingatlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat dan amalan yang ikhlas. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takabbur dan menunjuk-nunjuk akan kemampuan, maka akan tertutuplah rahmat Allah SWT dan sia-sialah amalan yang kita lakukan. Pengorbanan perlu ada ketakwaan dan keikhlasan. Tanpa duaini, maka tidak tercapai matlamat pengorbanan seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37: 

Maksudnya: “ Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya. ”

Semuga kita semua dapat menghayati makna sebenar sambutan Hari Raya Haji tahun 1432 ini  agar lebih bermakna dan seterusnya dapat melaksanakan perkara-perkara yang dituntut  syarak. Akhir kata sekali lagi saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Haji (Korban) Maaf Zahir Batin. Kalau yang balik kampung tu berhati-hatilah memandu semuga selamat sampai dikampung dengan selamat.

Sekian terima kasih

Wassalam

“SAYANGILAH GENERASI KASIBAN”

MOHAMAD SALAN
Pengerusi KKK
05 November 2011